Insiden mencari parkir menyedarkan saya tentang keajaiban doa kanak-kanak

Assalamualaikum.

Mutakhir ini, isu valet doa menjadi tular di media sosial juga massa. Mahukah kalian saya kongsikan sesuatu? Terdapat alternatif murah malah mungkin percuma, juga memungkinkan doa kalian dimakbulkan segera iaitu, doa dari kanak-kanak (baca: belum baligh). Saya pernah menguji kebenaran ini tempoh hari, semasa sedang mencari parkir di Giant Teluk Intan.


Alkisahnya, pada masa itu musim perayaan dan saya sedar akan kesukaran untuk mendapatkan parkir. Kebetulan, saya membawa sama anak asuhan emak. Sambil menanti kereta hadapan yang turut sangkut dalam jam mencari parkir, timbul idea untuk meminta anak ini berdoa. Lalu dengan bimbingan saya, diungkapkan dalam bahasanya, si anak kecil mengangkat tangan, lalu berdoa dengan bersungguh-sungguh,

"Ya Allah, berilah kami parking."


Sejurus kemudian, saya terlihat sebuah kereta sedang reverse keluar dari kotak parkir. Pantas saya memberikan isyarat dan meletakkan kereta di parkir yang sama kemudiannya. Rezeki kami, parkir tersebut terletak berhampiran pula dengan pintu masuk.


Kisah kedua, sewaktu emak kepada si anak itu sedang menanti kelahiran bayinya yang ketiga. Beliau sudah ditahan berhari-hari di dalam wad namun masih tidak menunjukkan tanda ingin melahirkan. Lalu adik saya mengajaknya untuk berdoa,

"Ya Allah, permudahkanlah mama untuk bersalin."

 Tup tup keesokkan harinya, kami menerima khabar beliau telah selamat melahirkan seorang bayi perempuan. Masya-ALLAH, begitu hebat penangan doa mereka! Barangkali dek hati yang bersih lagi suci, mudah benar doa mereka dimakbulkan. Tidak hairanlah mengapa dalam Islam, junjungan Nabi (selawat) menganjurkan untuk menyantuni golongan ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari,

Bukanlah dari kalangan kami sesiapa yang yang tidak mengasihi anak-anak kecil kami dan tidak memuliakan golongan yang tua dari kalangan kami.


Usah dipandang enteng akan bahasa doa mereka yang mungkin kelihatan biasa dan entah apa-apa bagi orang dewasa seperti kita.

Justeru, perhatikan di sekeliling kalian, andai terlihat anak kecil dalam kelaparan, teringinkan sesuatu yang mungkin ibu bapanya tidak mampu belikan, atau mungkin kalian sendiri sedang menghadapi kesulitan, sudilah kiranya untuk bersedekah dan memohon mereka mendoakan kesejahteraan serta kelapangan rezeki kita pada masa hadapan, insya-Allah. Selamat beramal!


No comments

Powered by Blogger.