Ini jawapan Haziq mengapa matanya kekuningan

Assalamualaikum.

Semalam adalah hari pertama kelas Matematik saya bersama pelajar tingkatan empat. Ada enam orang kesemuanya. Tiga orang lelaki, tiga orang perempuan. Buat pertama kali, saya mampu mengingati nama mereka dengan mudah. Faktor bilangan juga mungkin.


Di antara keenam-enamnya, saya tertarik dengan dua orang pelajar, Arif dan Haziq. Bukan kerna mereka lelaki, tetapi raut wajah Arif yang sekilas pandang seperti pelakon Korea, Kim Jae Woon. Dua kali pandang sudah tidak sama.


Haziq pula dek saya hairan melihat dalam matanya yang kekuningan, tidak seperti mereka yang normal berwarna putih. Saya mengesyaki ia berkaitan dengan organ hati. Dengan berhati-hati saya menyoal,

"Haziq, kenapa mata awak kuning?"

Haziq ini suaranya perlahan saja serta gemar melemparkan senyuman tidak kisahlah sama ada dia faham atau tidak semasa saya mengajar.

" Saya ada masalah hati."

Saya terkejut. Patut sajalah fizikalnya tampak lesu dan dia mudah keliru.

"Sejak bila kena?" saya menyoal lagi.

"Emak saya cakap dari baby lagi."

Saya ini empatinya lebih. Orang belum meminta nasihat, saya dulu menyediakan pesan.
"Haziq kena pantang makan tau. Kurangkan makanan berlemak. Hati tu tempat pembuangan toksin. Kalau toksin penuh dalam badan, nanti timbul pula penyakit-penyakit lain."

Dia mengangguk-angguk tanda faham. Saya kira perkara tersebut dia sudah maklum sedari kecil lagi. Ini adalah pengalaman pertama saya mempunyai pelajar yang sakit sebegitu. Saya berharap Haziq kuat semangatnya untuk kekal berjuang di medan ilmu ini.

Doakan Haziq ya!

No comments

Powered by Blogger.