Siapa kata memasak tidak mengajar sesuatu?

Assalamualaikum.



Saya dan rakan sebilik Teera, masing-masing punya citarasa dan stail berbeza ketika memasak.

Saya perlukan resipi dan merujuk langkah penyediaan tidak bagi Teera yang campak-campak saja. Dia yang gemar menonton video masakan dari Youtube sentiasa ingin mencuba resipi tersebut tidak kiralah makanan Korea, Jepun mahupun masakan Melayu sendiri.

Semalam, dia menonton video Chef Anis Nabilah memasak butterchicken. Sejurus selepas itu terus dia membeli barang-barang untuk mencuba resipi tersebut. Saya yang baru pulang, melihat dia sibuk berperang di dapur.

"Fiqah, i need your help."
"Tolong rasa ke?" saya mengagak.
"Tolong ambilkan daun kari dekat luar and tolong rasa sekali lepas tu."

Sangka saya dia ingin memasak kari. Bila di dapur saya lihat kuahnya berwarna kuning.

"Weh tolong aku, aku nak masak butterchicken ni tapi macam tak menjadi."
"Tengok resipi tak?" saya bertanya kerana kebiasaannya dia tidak merujuk apa-apa. Sekadar mengingati bahan dan video yang ditontonnya, selebihnya bertawakal kepada Allah.
"Tak."

Jawapan yang sudah saya jangkakan.
Cepat-cepat saya google resipi butterchicken dan mengikuti langkah memasak. Saya tambahkan sesudu susu pekat untuk memekatkan kuah tapi masih lagi cair.


"Ni guna marjerin ke butter?" saya hairan melihat minyak yang terlalu banyak.
"Aku guna marjerin."
"Patutlah pun." saya tambahkan pula butter ke dalam kuali.
"Kenapa kuah ni tak pekat ya?" kali ni saya pula yang bertanya.
"Kena tambah air kot?" Teera menjawab sambil menghulurkan secawan air.


Saya ni kalau resipi tidak kata tambah air, sampai ke sudahlah saya tak tambah. Terlalu rigid dengan prosedur lah katakan. Bila ditambah pula susu isian sejat, keadaanya masih lagi sama.


"Kita buat balik je lah." saya sudah mula give up mengacau kuah yang cair ni.
"Aku rasa kena tambah air ni." terus dia menuang air ke dalam kuali.


Kuah yang tadi cair sudah mula pekat tetapi rasanya manis pula. Aduh. Saya cuba bereksperimen dengan menambahkan air, garam, diikuti daun kari, daun bawang, cili padi dan lada hitam. Eksperimen yang tidak hanya terhad di ruang makmal saja. Sesudah dirasa semula, barulah rasa manis itu berkurang. Saya bancuh tepung ubi sedikit untuk menjadikan pekatan kuah lebih sempurna.

Itulah pengalaman pertama saya dan Teera memasak butterchicken. Mujur saja rasanya tidak lari dari yang pernah dimakan sebelum ini. Jika tidak kerana Teera yang "berani" menambahkan air itu tadi, saya sudah fikir untuk memasak semula saja.

Meski kami berdua berbeza stail tapi itulah yang menjadikan kami saling melengkapi. Situasi tersebut mengajar saya agar tidak takut untuk membuat salah serta dari lari kebiasaan. Jika tidak, sampai ke sudahlah masih di takuk yang sama, membuat perkara yang sama.


Teringat saya dalam filem Rudy Habibie, kata-kata Ilona kepada Rudy,
"Saya berharap satu hari nanti kamu bisa beroleh inspirasi dari makanan pula."

Siapa kata memasak tidak mengajar sesuatu?

Fiqah Nur,
saintis di dapur

No comments

Powered by Blogger.