Assalamualaikum.
Ekspedisi kali ini membawa saya dan tim ke Bukit Jugra pada Sabtu lepas, setelah dua minggu "gantung kasut". Mengikut pelan asalnya, kami hendak ke Bukit Kutu namun setelah berbincang semula, kami putuskan untuk ke Bukit Jugra saja. Alhamdulillah, keputusan yang diambil tepat sekali kerana pada hari tersebut , Sungai Pertak sekali lagi dilanda kepala air di mana 3 lelaki yang tidak sempat mendaki tebing terpaksa berpaut di batu sebelum diselamatkan oleh pasukan bomba sejam kemudian.
Tim kali ini seramai 7 orang dan disertai tiga wajah baru iaitu Ayu, Duwe dan Efy. Bukit Jugra yang terletak di Banting mengambil masa kira-kira sejam perjalanan dari UPM. Untuk waze, sila gunakan "Bukit Jugra". Kami melalui SKVE dan mengambil exit di Telok Panglima Garang. Dari situ, perjalanan diteruskan ke Bukit Jugra dengan hanya berpandukan papan tanda yang tertera.
Kira-kira jam 9.15 pagi, kami tiba di sana. Terdapat dua entrance untuk mendaki bukit ini, sama ada di Kampung Permatang Pasir atau Bukit Jugra Paragliding. Kami yang pertama kali tiba di sini memilih Kampung Permatang Pasir sebagai starting point. Kereta boleh diparkir di sepanjang bahu jalan di sebelah masjid. Bukit Jugra lebih dikenali sebagai spot paragliding berbanding hiking. Mungkin kerana itulah tidak ramai orang yang mendaki sama pagi itu. Dari parkir ini, ikut jalan tar sehingga jumpa jalan kecil bersebelahan pagar seperti gambar di bawah.
 |
| Pendakian bermula di sini |
Selepas melalui jalan kecil tersebut, barulah pendakian sebenar bermula. Trek kali ini ala-ala seperti di Bukit Saga. Terdapat banyak akar kayu serta memerlukan kekuatan kaki dan lutut untuk mendaki. Penggunaan tongkat mendaki adalah sangat membantu. Bermula dari sini (gambar di bawah), ketinggian semakin mencanak. Kami mengambil masa kira-kira 1 jam 15 minit untuk tiba sehingga ke puncak (ada berhenti berehat sebentar).
 |
| Berehat sebentar bersama Cloud 9 |
 |
| Tim perempuan (seorang lagi tiada dalam gambar) |
 |
| Suasana di dalam trek |
Sebelum tiba ke puncak, kami bertemu kawasan lapang ini terlebih dahulu dan perlu mendaki sedikit. Di atas sana, terdapat bangunan kerajaan lama yang telah ditinggalkan.
 |
| Cubaan melompat yang tidak jadi |
.
 |
| Ikut jalan tar ini untuk tiba di puncak |
Sangka kami pabila tiba di puncak, kami akan bertemu papan tanda Jugra seperti yang ada di dalam google. Namun sangkaan tersebut meleset. Kami hanya disajikan permandangan kawasan lapang yang dipenuhi lalang juga Pulau Carey serta Selat Melaka. Meski dalam kehampaan, peluang bergambar tidak harus dilepaskan lebih-lebih lagi keindahan kawasan tersebut yang tidak dapat dinafikan.
 |
| Tim trans Jugra. Dari kiri Rizal, Efy, Kak Ros the explorer, Teera, Ayu dan Duwe. |
 |
| Boleh nampak Pulau Carey dari sini |
 |
Dekat puncak pun teringatkan deme ni
|
Mujur saja kami bertemu penduduk sini. Menurut mereka, papan tanda Jugra bukan terletak di puncak ini tetapi di kawasan paragliding. Untuk ke sana, kami punya dua pilihan, sama ada turun semula ke parkir dan menaiki kereta saja ke sana atau turun ke bawah dan ikut saja jalan tar sehinggalah hujung jalan. Namun, kedua mereka tidak pasti berapa lama jarak perjalanan untuk ke sana jika mengikut jalan tar.
Kami putuskan untuk memilih pilihan kedua. Masing-masing tidak sanggup hendak memasuki trek semula.
 |
| Perjalanan turun |
 |
| Bangunan kuarters kerajaan yang telah ditinggalkan |
Gigih kami berjalan hingga ke hujung, alih-alih pagar pula ditutup. Masing-masing sudah kepenatan tetapi perlu memaksa diri untuk mendaki semula. Mujur saja pada waktu sebegini, Duwe seorang yang sudah biasa hiking mengusulkan untuk melalui jalan hutan bagi menembusi pagar yang ditutup itu. Kami bersetuju saja dengan cadangannya. Tiada gambar yang sempat dirakam dek treknya yang sempit dan memerlukan lebih perhatian semasa berjalan.
Akhirnya, kami berjaya keluar dari kawasan yang dipagar itu dan meneruskan misi mencari papan tanda Jugra. Lama kami berjalan, hinggalah kami terlihat di persimpangan jalan tersergam rumah api Bukit Jugra. Dari rumah api sudah tidak lama hendak tiba ke papan tanda itu.
 |
| Mission achieved! |
Semasa kami tiba di sana, sekumpulan wanita sedang menunggu angin untuk aktiviti paragliding.
 |
Rumah api
|
 |
| Permandangan Pulau Carey dan Selat Melaka yang lebih jelas |
 |
| Di Seberang sungai itu ialah Pulau Carey. Dan di seberang Pulau Carey itu, ialah Selat Melaka. |
Tidak sia-sia kami berjalan lama, meredah hutan semata-mata untuk melihat such a breathtaking view ini. Kami tiba sudah tengah hari dan sempat menjamah makan tengah hari di gazebo yang terdapat di situ. Kami sempat berkenalan dengan Encik Yusuf, seorang professional dalam sukan luncur angin. Dia sempat mempromosi pakej paragliding dan aktiviti yang sama waktu dengannya kepada kami. Melalui dialah kami tahu di seberang sungai itulah Pulau Carey.
 |
| Rizal selaku chef of the day |
Usai makan, tiba waktu untuk pulang tapi masing-masing keberatan untuk melalui trek sebentar tadi dek mengenangkan kepayahan untuk turun naik bukit. Kami bertanyakan kepada Encik Yusuf jalan lain yang boleh dilalui untuk ke Kampung Permatang Pasir semula. Dia cadangkan untuk berjalan saja menuruni jalan tar. Setiba di bawah, perjalanan mengambil masa kira-kira 20 minit untuk tibe di kereta. Percaya atau tidak, kami menggunakan jalan tersebut! Naik melalui hutan, turun melalui jalan tar.
 |
| Starting point Bukit Jugra Paragliding |
Perjalanan 20 minit bermula di sini. Tidak sampai separuh jalan, masing-masing sudah sakit kaki ditambah cuaca yang terik rasa ingin menumpang saja sesiapa yang lalu pada masa itu.
 |
| Ambil kiri untuk ke Kampung Permatang Pasir |
 |
Tube hotel yang masih dalam proses pembinaan
|
Rezeki kami, sekali lagi dibantu penduduk di situ. Kali ini oleh budak sekolah. Dialah yang menumpangkan saya untuk mengambil kereta dan saya mengambil pula rakan-rakan yang lain. Hari itu, kereta Saga FLX bertukar menjadi 4 wheel. Mana tidaknya, ruang yang sepatutnya hanya muat 5 orang, kami sumbat sehingga 7 orang!
 |
| Paragliding spotted! |
 |
| Selamat mendarat |
Tiba di parkir, kami berpisah dengan Rizal dan Duwe. Kami tiba di Serdang semula hampir jam 3 petang. Setelah diamati semula, barulah kami sedar untuk ke papan tanda Jugra itu tidak perlu mendaki pun tidak apa, naik saja kereta sampailah ke atas sana. Itulah yang dimaksudkan oleh mereka yang kami temui sebelum itu. Jika takut sesat dan ingin juga menggunakan waze, taip saja "Rumah Api Bukit Jugra". Tetapi jika inginkan cabaran, trans Jugra lah seperti kami. He he he.
p/s: Tiada filter digunakan untuk semua gambar.
No comments