Pertolongan Allah datang dalam pelbagai cara

Semalam saya dan rakan merancang hendak ke Decathlon di Damansara sebelum menghantar mereka ke KLIA. Namun perancangan Allah itu lebih baik. Plan tersebut terpaksa dibatalkan tatkala menyedari tayar depan kereta saya pecah dek tertusuk 'screw'.
.

Saya langsung 'blank' melihat keadaan tayar tersebut. Mujur ketika itu bersama rakan, Teera dan Kak Roz. Kedua-dua mereka pernah mengalami situasi yang sama dan tahu tindakan yang perlu diambil.
.

Mereka mengeluarkan jek, tayar ganti dan spanar di dalam but. Dilaraskan jek sehingga mencapai ketinggian yang sesuai untuk membuka penutup rim. Dengan menggunakan sepenuh kudrat, mereka saling bergilir mencuba untuk membuka, tetapi gagal.
.

Saya cuba meminta bantuan dari mereka yang berada di kedai berdekatan. Akan tetapi, mereka memberikan alasan tidak reti menukar tayar. Ada juga dua tiga lelaki yang lalu di hadapan kami tapi tidak ada yang sudi menghulurkan bantuan. Tak apalah, mereka hendak cepat mungkin.
.

Teera dan Kak Roz pula ke bengkel motor yang terletak tidak jauh dari situ untuk bertanyakan kalau-kalau ada yang mempunyai 'contact' pekerja bengkel kereta. Namun, sekali lagi hampa. Mereka lalu kembali semula ke kereta.
.

Tidak lama kemudian, datang seorang lelaki India, pekerja bengkel motor berkenaan menghampiri kami dan cuba untuk menghulurkan bantuan. Alhamdulillah. Lega rasanya ada yang ingin membantu.
.

Usai melaras jek, dia membuka pula penutup rim tetapi ketat. Dia kembali ke bengkel dan membawa 'screwdriver'. Penutup boleh dibuka kemudiannya. Bila hendak melonggarkan 'nut', sekali lagi dia mengalami kesukaran. Kali ini, dia membawa pula '4 way wheel wrench' (spanar yang berkaki empat itu) beserta 'spray' untuk melonggarkan ‘nut’. Keadaan masih sama. Sudahnya dia pulang terus ke bengkel dan meninggalkan kami yang termangu-mangu.
.

Kami duduk mengelilingi tayar yang pancit itu. Masing-masing berdoa moga ada yang bisa membantu. Sedang asyik melayan perasaan, kami disapa oleh seseorang,

"Kenapa ni dik? Nak tukar tayar ke?" tanya lelaki itu.
"Haah, nak tukar tayar ganti ni. Tapi 'nut' ketat pula. Tak boleh nak longgarkan."
"Tak apa, biar kami tolong."
.

Turun dari kereta, 3 orang lelaki termasuk lelaki pertama yang menegur kami tadi. Lelaki pertama dan kedua kelihatan dalam lingkungan usia 30-an, manakala lelaki yang ketiga masih muda, dalam 20-an mungkin.
.

"Biar Ali (lelaki ketiga) cuba pula." kata lelaki pertama selepas melihat rakannya(lelaki kedua) juga tidak mampu melonggarkan 'nut' tersebut.

"Baru balik dari makan ke?" Kak Roz cuba berbasa-basi dengan lelaki pertama. Saya dan Teera diam saja. Fokus kami kepada 'nut' yang masih gagal dibuka.

"Haah, nampak pula kalian dekat depan ni. Ingatkan kenapalah duduk keliling tayar tu."

"Kami tengah berdoa tadi." sambung Kak Roz.

"Cepat Allah makbulkan doa kalian. Didatangkan tiga hero ni untuk membantu. Ha ha ha!" beliau ketawa sambil matanya melihat Ali yang sedang mengerah tenaga.
.

Dengan sekali pusing, Ali berjaya melonggarkan ‘nut’ tersebut . Wah! Itulah reaksi kami bila mana melihat situasi berkenaan. Dikeluarkan tayar yang pecah lalu digantikan dengan tayar ganti, 'nut’ diketatkan, dan dipasang semula penutup rim.
.

"Tayar ni sementara je tau. Kena bawa ke bengkel ditukar tayar baru" ujar lelaki kedua setelah Ali selesai memasang penutup rim.
.

Segala pesanan seterusnya disampaikan oleh lelaki pertama dan kedua. Ali sekadar berbicara bila hendak memasukkan kembali tayar pecah ke dalam but.
.

Kami mengangguk faham. Apabila mereka berkira hendak berlalu pergi, saya hulurkan duit sebagai token penghargaan, namun ditolak.
"Tak apa lah, tak susah mana pun tukar tayar." ujar lelaki kedua.
.

Saya tidak berpuas hati dan tetap ingin memberi sesuatu sebagai tanda terima kasih. Sudahnya, Teera membeli saja air tin di kedai dan memberi kepada mereka.
"Kalau air kami terima." lelaki kedua senyum dan menutup semula pintu kereta.
.
Setelah mengucapkan terima kasih, perlahan kereta mereka meluncur meninggalkan kami.
.
Sungguh, walau berdepan kesukaran pada mulanya, dihadirkan kepada kami, tiga orang insan yang menolong dengan seikhlas hati. Ayuh kita biasakan diri untuk mendoa kemudahan buat mereka yang dilihat sedang mengalami kesukaran kerna boleh jadi itu menjadi asbab kita memperoleh pertolongan pada masa-masa yang tidak dijangka kelak.
.
Semoga Allah merahmati dan melapangkan urusan ketiga-tiga mereka sebagaimana mereka melapangkan urusan kami.
.
Fiqah Nur,
syukur kepada Allah

No comments

Powered by Blogger.